Saturday, March 26, 2016

Melaka River Cruise - Menyusuri Sungai Melaka

Bismillahirrahmanirrahim
(In the name of Allah, Most Compassionate, Most Merciful)




Kapal dagang dari seberang;
Sarat muatan kayu meranti;
Dari jauh Tuan Puan datang;
Orang Melaka sedia menanti.




Lembu punya susu, sapi dapat nama. 
Kancil punya penat berlawan, (pokok) Melaka yang dapat nama.
Bayangkan negeriku ini diberi nama Negeri Kancil....


Bayangkan.... jika Melaka berjaya ditakluk oleh Siam (mujurlah ada perlindungan / hubungan diplomatik dari China). Pernah dengan nama Laksamana Cheng Ho? Di Melaka ada Cheng Ho Cultural Museum, saya teringin sangat melawatinya. Beliau diceritakan sekali belayar membawa 30,000 orang belayar bersamanya, sekali pelayaran sahaja ada lebih 300 kapal. Dengar cerita, ketinggian beliau 7 kaki (What?).

Bayangkan.... zaman kegemilangan Melaka. Kesibukan Selat Melaka. Kesibukan Sungai Melaka. Penuh sesak jalanraya laluan Selat Melaka dan Muara Sungai Melaka dengan kapal pedagang.

Bayangkan.... banyaknya kapal dari negara lain. Berapa jumlah keseluruannya itu?

Bayangkan.... keriuhan dan kesibukan kawasan di kiri dan kanan Sungai Melaka. Diceritakan ada lebih 80 bahasa dituturkan ketika itu.

Bayangkan.... kemasyhuran Melaka waktu itu dengan beratus-ratus gudang, rumah penempatan pedaganag yang berkelompok mengikut Negara/bangsa (sebab itu agaknya ada Bukit Cina, Tanjung Kling, Kampung Jawa, Perkampungan Portugis dll) etc etc.

Bayangkan.... banyaknya peluang perniagaan di situ ketika itu : hotel, makanan, pakaian, dobi, membaiki kapal dll. 



Kota Melaka (The Malacca Port Fort)


Kita lihat dari lebih dekat kesemua 5 gambar klasik yang ada pada papan info di atas.


Melaka pada 1508 - setahun sebelum kedatangan Lopez de Squera (1509) dan 3 tahun sebelum dijajah Portugis (1511). Sewaktu kemasyhuran Melaka ini, telah pun ada Kota Melaka (yang dibuat daripada kayu) sebagai kubu pertahanan dan di dalam kota ini ada istana, masjid, bangunan pentadbiran, menara kawalan dan kediaman pembesar.

Kalau roboh Kota Melaka;
Papan di Jawa hamba dirikan;
Kalau sungguh bagai dikata;
Badan dan nyawa hamba berikan. (Erk! Itu macam kah?).


Malangnya, Kota Melaka 'roboh' juga.

Kemudian penjajah Portugis telah mengubahsuai Kota Melaka ini dan mengasingkan diri mereka dari orang tempatan di luarnya. Dari masa ke semasa, ia diperluaskan dan diperkuatkan dengan dinding batu serta ditambah menara dan kemudiannya ditambah pula dengan bastion. Baru ku tahu batu-bata yang dibuat A Famosa atau The Famous One (Fermosa = Famous) rupa-rupanya diambil dari batu-bata masjid, istana dan batu perkuburan di situ.... Jika benarlah kisah itu, IDK what to say, sampai nya hati mereka.....

Bayangkan keutuhan kota/kubu tersebut; dengan ketinggian 240 kaki dan dinding pula setebal 8 kaki, kota itu sukar ditembusi orang tempatan yang cuba menawan semula dengan kekurangan peralatan perang berbanding senapang dan meriam Portugis. Selain itu, ada juga dibina menara kawalan dengan tambahan 120 kaki di atas kubu tersebut, menjadikannya setinggi bukit itu.

Yang tinggal kini hanyalah Porta de Santiago (salah satu daripada 4 pintu masuk ke A Famosa) di kaki bukit berhampiran Istana Melaka sekarang. 

Namun, setebal-tebal kubu mereka, Portugis kalah juga kepada Belanda.

Sewaktu pemerintahan VOC (Belanda), Kota Melaka semakin mereka cuba perkukuhkan (saya tak suka nak guna perkataan gagah). Tidaklah saya ketahui mengapa, Belanda ingin berlindung daripada siapa pula. Juga, apakah keuntungan/kemajuan yang ada diberikan kepada rakyat Melaka.


Inggeris pula memusnahkan Kota Melaka dalam usaha untuk mengalihkan perhatian/minat pedagang untuk berniaga di Pulau Pinang. Setelah dimusnahkan Inggeris, Kota Melaka yang tinggal hanyalah apa yang ada kini.


Hmm.... dari mana pula mereka dapatkan batu-bata tu?

Cukup 5 gambar.



Bayangkan.....
Apakah sebenarnya yang mereka wariskan kepada kita?

.
.
.

Hmm....
Biarlah saya bayangkan yang elok-elok sahaja.
Zaman kegemilangan Melaka sebelum dijajah.

.
.
.

Fast forward.

Tahun 2016.

Setelah usia saya melepasi 29 tahun, barulah saya berkesempatan manyusuri Sungai Melaka dan cuba menghidupkan imaginasi saya mengenai zaman kegemilangan Melaka.

Lawatan kali pertama : Kami mulakan dengan Melaka River Cruise!

Musim cuti Hari Wilayah yang lepas, kami pun ke sana.
.
.
.

MELAKA RIVER CRUISE


Sedikit mengenai Sungai Melaka
Panjang sebenarnya sekitar 40km, bermula dari muara Sg Melaka sehinggalah ke Kg Gadek.
Tidaklah sepanjang Sungai Perak yang 10 kali ganda lebh panjang (400km), apatah lagi Sungai Elbe di Hamburg (dari muara sungai ke bandar Hamburg sahaja sudah 130km dan panjang keseluruhan Sungai Elbe pula lebih 1000km).

Kini Sungai Melaka boleh dikatakan bersih dan cantik!

Dahulu, Tom Pires, sejarahwan Portugis pernah menamakan Melaka sebagai Venice di Timur ('Venice of The East'). Mungkin, jika bot-bot pelancong kini diganti dengan bot yang lebih cantik, gelaran ini mungkin boleh dipakai semula. Mungkin.

.
.Bagi mereka yang lebih berstamina, bolehlah menyusuri Sungai Melaka dengan berjalan kaki di tepinya. Ada disediakan laluan pejalan kaki di sepanjang Sungai Melaka. Trek 10,000 langkah ini ada ditulis pada 'bunting' bermaskot sang kancil, perjalanan pergi balik ini bersamaan 6km (dari Muzium Maritim sehingga ke Jambatan Pasar dan pulang semula) dikira dapat membakar sekitar 400kcal, dan ditulis di situ bersamaan sepiring nasi lemak atau semangkuk mi sup.

Tetapi... dengan musim panas dan kelembapan sehingga peluh melekit ini, kemalasan saya berjalan kaki di luar semakin menjadi-jadi. River cruise lah pilihan kami.

.
.
Melaka river cruise ini membolehkan anda melihat beberapa bangunan bersejarah di samping berehat duduk di dalam bot dan sempat juga berangan-angan. Maklumlah, river cruise sepanjang 6 km memakan masa sekitar 45 minit pergi dan balik (dari jeti Muara Sg Melaka, ia akan terus U-turn apabila sampai di Taman Rempah). Dapatlah anda merehatkan kaki setelah penat berjalan ke tempat-tempat bersejarah lain yang berhampiran di situ eg Stadhuys, A Famosa dan Bukit St Paul.


Anda boleh memilih sama ada nak mula di Jeti Muara Sungai Melaka ataupun Jeti Taman Rempah (Spice Garden Jetty). Saya 'googled' dan bertanya rakan-rakan sekolah rendah yang masih tinggal di Melaka : mereka mencadangkan 'naik' river cruise dari jeti Taman Rempah kerana lebih mudah untuk mendapatkan tempat 'parking' kereta. Tetapi memandangkan waktu tu dah hampir senja dan saya tak tahu di mana terletaknya Taman Rempah, maka Jebat Jake (bukan nama sebenar) pun memandu ke arah Jeti Muara Sg Melaka. Memang betul, susahnya nak cari tempat 'parking' kereta, asyik penuh sahaja. Dua kali pusing kawasan situ tak dapat 'park' kereta, dia 'parked' kereta di kawasan Bangunan Lembaga Tabung Haji di Jalan Bandar Kaba dan kami berdua pun berjalan kaki menuju ke Jeti Muara Sungai Melaka sambil berhenti mengambil gambar-gambar di atas. 


Waktu malam tidaklah terlalu panas. Dari Jalan Bandar Kaba, kami berjalan menuju ke arah jeti Muara Sungai Melaka. Saya terus terpikat dengan bangunan di sebelah kanan itu, tetapi pada waktu itu, kami telahpun checked-in di tempat lain.


Hmm.... hati semakin teruja untuk menginap di sini pula akan datang, resort yang sama dalam gambar di atas kini berada pada kiri gambar. Waktu ini, kami baru sahaja menaiki bot (sama seperti bot yang kelihatan di dalam gambar ini).


Saya tidak pasti apakah fungsi tambahan kincir air yang baru dibina pada tahun 2007 ini selain sebagai hiasan panorama Sungai Melaka...... Kincir air ini menyerupai kincir air sewaktu zaman kesultanan Melaka dahulu. Pada zaman itu, kincir air digunakan untuk mengalirkan air dari anak sungai untuk kegunaan pedagang (salah satu tarikan utama para pedagang untuk berniaga di Melaka adalah kemudahan bekalan air). Apakah kincir air yang baru dibina ini boleh berfungsi mengalirkan air? 


Nampak bangunan merah yang dibina sewaktu pemerintahan Belanda. Mungkin dahulu ia tidak dapat kelihatan dari sungai kerana ia dikelilingi tembok kubu batu. Bayangkan rakyat kita dipinggirkan penjajah dengan tembok kubu setinggi sedangkan di dalam itulah sebelumnya terletaknya istana Melaka, masjid, kawasan perdagangan kita dsb. Bukan untuk setahun, bukan untuk 50 tahun, malah beratus tahun.... Warna merah pada dinding mengingatkan kita kepada kisah kebencian rakyat terhadap penjajah (baca semula post Belanda saya).


Lebih indah pemandangan waktu malam dengan lampu-lampu dan suasana yang lebih nyaman (untuk tidak merosakkan kenangan, bolehlah kita abaikan bangunan penjajah itu).


Kebanyakan dinding bangunan rumah/rumah kedai/kedai ada lukisan mural yang mengindahkan pemandangan. Saya menjadi leka melihatnya sehingga tidak sempat mengambil gambar lukisan mural yang banyak.



Tips memilih tempat duduk di dalam bot:
- Duduk di bahagian paling berhampiran dengan pemandu bot (maknanya di belakang la tu)
- Memandangkan ada 4 barisan kerusi yang diatur secara memanjang, saya cadangkan duduk di barisan luar/tepi sama ada di kanan atau di kiri bot. Saya pilih di sebelah kanan bot (di sebelah kanan pemandu bot). 
- Walaupun tempat paling berhampiran pemandu dikira tempat duduk paling belakang, tetapi ia lebih 'selamat' kerana apabila berselisih dengan bot lain pada arah bertentangan, arus sungai boleh masuk ke dalam dan membasahi penumpang yang duduk paling hadapan. Walaupun Sungai Melaka kelihatan bersih daripada sampah fizikal, tetapi dari warna air sungai, kita dapat meneka ia bukanlah betul-betul bersih daripada cecair sampah.

Bayangkan keriuhan pedagang menyusuri sungai ini.
Bayangkan kesibukan pada dua-dua belah benteng sungai ini.
Bayangkan kemasyhuran Melaka dahulu.
Bayangkan gudang-gudang di kanan dan kirinya.
Bayangkan istana di atas bukit itu.
Bayangkan .........

Kemudian, fikirkan apakah kekurangan kita sehingga berjaya diterobos penjajah.
Dan kekal dijajah selama beratus tahun.
Supaya kita dapat memperbaikinya dan mengatasinya.
Supaya kita tidak mengulangi sejarah buruk itu.
Adakah minda kita masih dijajah kini?


Dalam keseronokan membayangkan zaman kegemilangan Melaka dahulu, tiba-tiba ternampak bangunan moden pula (hotel agaknya). Haish! Lantas ku terbangun dari angan-anganku.



Kami lalu bawah banyak jambatan. Jika tak silap saya, ada 7 jambatan kesemuanya:
Jambatan Tan Kim Seng
Jambatan Chan Koon Cheng
Jambatan Kampung Jawa
Jambatan Pasar
Jambatan Hang Tuah
Jambatan Stesen Bas Lama
Jambatan Kampung Morten

Dahulu, jambatan sangat penting menghubungkan kedua belah sungai.
Sewaktu Portugis ingin menawan Melaka dahulu, mereka telah memutuskan jalan hubung secara meruntuhkan jambatan Sungai Melaka. Maka, kita pun lebih cepat dikalahkan kerana bantuan dari seberang sungai tidak dapat sampai.


Satu kemusykilan saya, sistem laluan bot ini tidak mengikut sistem laluan sungai yang saya faham. Sefaham saya, untuk mengelakkan perlanggaran, keseragaman pengangkutan maritim disistemkan secara : bot menyusuri berhampiran sebelah kanan sungai (starboard side). Entahlah...mungkin ingatan saya sewaktu river cruise ini terlupa tetapi gambar ini menguatkan ingatan saya bahawa bot itu memang menyusuri berhampiran arah kiri sungai (port side).


Sungai Melaka diterangi lampu-lampu dan lukisan mural.




Kampung Morten. Memang cantik bercahaya. Dah macam malam Raya pula.
Inilah rupanya rumah tradisional kami orang Melaka. Kini, Kampung Morten adalah kampung warisan Melaka.

Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu;
Mengiring Sultan duduk bertakhta;
Anjung serambi bertanggakan batu;
Lambang kemegahan rumah Melayu Melaka.

Ehem, ehem....
Tidak perlu terkejut dengan kebersihan halaman rumah kami. Orang Melaka memang terkenal dengan kebersihan terutamanya halaman rumah. Bangun pagi je dah turun menyapu halaman tau. Petang lepas Asar pun menyapu halaman lagi. Sambil tu, berbual dengan jiran sebelah-menyebelah. Cuma, bila orang Melaka yang seorang ni dah bermastautin di KL, sifat kebersihan tahap kiasu ini tertinggal di kampung halamannya, maka halaman pun ibarat mini Taman Negara, dibiarkan ala-ala natural gitu. 






Eh! Kat New York Melaka pun ada tangga cantik! Tangga spiral di belakang bangunan ini mungkin peninggalan British, saya tak pasti.


Ada bangunan yang ditulis sebegini. Begitu panjang bangunan ini membuat saya meneka, mungkin ini bangunan zaman Belanda.


Dah sampai semula ke jeti Muara Sg Melaka. Hmm.... saya dah tahu nak menginap di mana pada lawatan cuti-cuti ke Melaka akan datang.


Ada juga replika kapal Portugis Flor de la Mar yang dikenali sebagai Muzium Samudera. Ia terletak berhampiran jeti Muara Sungai Melaka. Saya tak terniat pun nak ke muzium ini. Mungkin kerana saya tidak boleh terima pemilihan Flor de la Mar untuk 'dibina' semula pada zaman ini. Cukuplah kita pernah dijajah secara zahir pada zaman dahulu. Hmm....pada pendapat sayalah, mungkin replika kapal Melayu yang patut dibina apabila ingin mengenagkan zaman kegemilangan Melaka dahulu. Atau mungkin replika kapal Cheng Ho (yang memang dikenali kapal terbesar dan terpanjang pada era itu) yang tidak bermusuhan dengan Melaka dahulu (malah menjalin hubungan diplomatik dan membantu menjauhkan Siam dari menyerang Melaka) yang lebih sesuai 'dibina' semula. Kemasyhuran rombongan pelayaran Laksamana Cheng Ho ini menarik minat saya untuk melawati Muzium Budaya Cheng Ho dalam lawatan akan datang. Pada pendapat 2-sen saya sahaja....


Perjalanan balik (U-turn dari kawasan jeti Taman Rempah) barulah disertai dengan penerangan dalam Bahasa Melayu melalui speaker. Seeloknya kita mengambil tahu dahulu serba-sedikit mengenai Sungai Melaka kerana penerangan ini tidak jelas kedengaran (maklumlah, dengan bunyi enjin bot dan persekitaran).

Diberitakan ada pokok Melaka di tepi sungai, tetapi saya tak pasti yang mana satukah pokok Melaka itu.

Tamat river cruise.

Tak semak pula berapa harga tiketnya. Sewaktu Jake beratur membeli tiket, saya pula leka di kedai sebelahnya mencari souvenir.
Dicadangkan mula melawat kawasan Banda Hilir ini pada waktu pagi kerana ada banyak tempat bersejarah. Apabila menghampiri waktu senja pula, barulah menaiki river cruise untuk menikmatinya siang dan malam.





Banyak boleh dilihat dari balkoni bilik ini. Pusing kiri nampak ini. Saya berangan lagi, membayangkan suasana perdagangan di Sungai Melaka dahulu kala.

Kemudian....

Teringat berpuluh rangkap pantun 4 kerat ilmuan terkenal.
Mengenai nasib rakyat di tanah sendiri.......

Bermula dengan rangkap pertamanya;

Di atas runtuhan Melaka lama;
Penulis termenung seorang diri;
Ingat Melayu kala jayanya;
Pusat kebesaran nenek bahari.

Dan di antara rangkap-rangkapnya berikutnya;
Mengapa ini bekas yang tinggal;
Umat yang lemah terkatung-katung;
Hidup menumpang tanah terjual;
Larat wahai larat dipukul untung.

Sebelum engkau mengambil simpulan;
Sebelum Portugis engkau kutuki;
Inggeris Belanda engkau cemarkan;
Ketahui dahulu salah sendiri.

selang beberapa rangkap kemudian pula;

Berapa pula penjual negeri;
Mengharap emas perak bertimba;
Untuk keuntungan diri sendiri;
Biarlah bangsa menjadi hamba.

Ini sebabnya umat akan jatuh;
Baik dahulu atau sekarang;
Inilah sebab kakinya lumpuh;
Menjadi budak belian orang.

Sakitnya bangsa bukan di luar;
Tapi terhunjam di dalam nyawa;
Walau diubat walau ditawar;
Semangat hancur apalah daya.

selang satu rangkap pula;

Tidaklah Allah mengubah untung;
Suatu kaum dalam dunia;
Jika hanya duduk terkatung;
Bepeluk tubuh berputus asa.

selang satu rangkap lagi;

Riwayat yang lama tutuplah sudah;
Apalah guna lama terharu;
Baik berhenti bermenung gundah;
Sekarang buka lembaran baru.

selang 2 rangkap kemudian;

Bercermin pada sejarah moyang;
Kita sekarang mengubah nasib;
Di zaman susah ataupun riang;
Tolong tetap dari Yang Ghaib.

selang satu rangkap lagi;

Semangat yang lemah dibuang jauh;
Jiwa yang kecil kita besarkan;
Yakin percaya, iman pun teguh;
Zaman hadapan penuh harapan.

dan diikuti beberapa rangkap lagi sehingga habis.

No comments:

Post a Comment